Penoreh gembira, harga getah RM4 sekilogram

Penoreh gembira, harga getah RM4 sekilogram

OTHMAN Salleh menoreh getah di kebunnya di Kampung Belukar Luas, Kuala Nerang di Padang Terap. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Kenaikan harga getah sehingga mencecah RM4 sekilogram beberapa hari lalu menggembirakan golongan penoreh.

Harga tersebut dikatakan antara yang tertinggi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini ekoran pernah menjunam ke paras bawah RM3 sekilogram dalam tempoh lama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohamad Nazir, 30, seorang penoreh di Kampung Dalam, Kurung Hitam berkata, walaupun semalam harga berkurang kepada RM3.80 sekilogram namun kadar itu masih boleh diterima.

“Jumaat lalu harga getah yang dibeli peraih mencecah RM4 sekilogram. Kami gembira kerana sudah lama tidak merasai harga itu walaupun ia tidak kekal lama seperti diimpikan.

“Mungkin dalam beberapa hari akan datang ini kami harap harga kembali kepada RM4 sekilogram atau lebih lagi kerana banyak menambah pendapatan harian para penoreh,” katanya.

Sementara itu, Othman Salleh, 69, turut mengakui harga getah ketika ini memberikan pulangan yang baik kepada mereka yang kebanyakannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Alhamdulillah syukur dengan kenaikan harga getah kebelakangan ini yang bukan sahaja melepasi RM3 tetapi telah mencecah RM4 sekilogram kelmarin. Cuma harga itu tidak kekal untuk tempoh lama.

“Diharapkan pihak-pihak yang terlibat dalam tanaman getah ini akan terus berusaha bagi memastikan harga getah semakin naik agar kami yang menoreh ini semangat untuk turun ke kebun,” katanya.

Peraih getah di Kampung Barokhas, Syed Ibrahim Syed Omar berkata, pusat belian getah miliknya membeli sehingga 20 tan getah sejak Jumaat lalu ekoran kenaikan harga berkenaan.

“Kenaikan harga ini telah mendorong penoreh kembali ke kebun masing-masing ekoran mendapat motivasi melalui faktor kenaikan itu. Sebelum ini ramai yang gantung pisau kerana harganya tidak berbaloi buat mereka.

“Kerajaan perlu memastikan harga ini mampu bertahan dalam tempoh lama kerana walaupun tidak lagi mencecah RM4 tetapi harga RM3.80 dianggap baik kepada penoreh yang merupakan tulang belakang kepada industri tanaman getah negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN