Penjenayah cuba loloskan diri, rempuh kenderaan polis ditembak - Utusan Malaysia

Penjenayah cuba loloskan diri, rempuh kenderaan polis ditembak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR : Polis menembak kenderaan dinaiki seorang lelaki selepas dia cuba meloloskan diri ketika ditahan dalam kejadian berhampiran gerai makanan di Serendah, di sini pada Jumaat lalu.

Kejadian pada pukul 4.40 petang itu berlaku ketika Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Mualim, Perak mengekori sebuah kereta jenis Perodua Alza yang mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, apabila kenderaan suspek berhenti di lokasi kejadian, pihak polis telah menghalang kenderaan tersebut dengan dua buah kenderaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek kemudian bertindak merempuh kedua-dua kenderaan yang dihalang oleh kenderaan pasukan polis sehingga membahayakan nyawa anggota terlibat.

“Rentetan itu, beberapa das tembakan telah dilepaskan kearah kenderaan suspek. Sejurus keadaan selamat, pemeriksaan mendapati suspek mengalami kecederaan di perut akibat kesan tembakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek telah dibawa ke Hospital Selayang dan keadaan lelaki berusia 30-an itu dalam keadaan stabil.

“Semakan terhadap suspek mendapati mempunyai 14 rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah.

Menurut beliau, suspek telah ditahan reman bermula Sabtu lalu sehingga Jumaat ini untuk siasatan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diseru untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×