SHAH ALAM: Penjawat awam pelbagai peringkat khususnya Kerajaan Negeri Selangor disaran menunjukkan sikap mesra dan empati terhadap masalah dihadapi rakyat supaya ia dapat diselesaikan dengan baik.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, selain menyelesaikan masalah, penerapan sikap tersebut itu juga dapat memajukan daerah dan negeri ke tahap yang lebih baik, sekali gus menjadikan Selangor lebih cemerlang.
“Pegawai daerah, pegawai dan kakitangan semua pejabat daerah hendaklah bekerjasama dengan Orang Besar Daerah iaitu wakil kepada Sultan Selangor di setiap daerah di negeri ini supaya sama-sama dapat memajukan daerah masing-masing dan membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Berita berkaitan:
“Pegawai dan kakitangan kerajaan harus sedia maklum mereka adalah aset kerajaan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” titahnya pada Majlis Perasmian Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling dan Ibadah Korban Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling Tahun 2024, semalam.
Titahnya, pegawai dan kakitangan kerajaan bertanggungjawab untuk melaksanakan segala dasar yang digubal oleh kerajaan demi kepentingan semua warga Selangor.
Malah, tegas Tengku Amir, dasar tersebut tidak bermakna atau mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat jika pelaksananya tidak cekap dan kurang berkesan.
“Sebagai pelaksana dasar, rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada pejabat daerah. Cubalah memahami masalah yang dikemukakan rakyat dan berusaha menyelesaikan (masalah tersebut).
“Beta menyeru kepada semua pegawai dan kakitangan kerajaan negeri Selangor khususnya pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling supaya dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang, jujur, amanah dan penuh ikhlas,” titahnya.
Terdahulu pada majlis sama, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan ibadah korban, dengan menyembelih seekor daripada tiga ekor lembu yang kemudian dagingnya diagihkan kepada penduduk kampung yang tinggal dalam daerah Petaling.











