KOTA KINABALU: Penjara Pusat Kota Kinabalu menyasarkan dua pertiga daripada penghuni menjalani hukuman di luar penjara menjelang 2030.
Timbalan Pengarah Penjara Pusat, Jaini Ayong Rajawa berkata, selaras dengan itu, pelbagai program giat dilaksanakan bagi menggalakkan penglibatan komuniti dalam proses pemulihan penghuni penjara.
Beliau berkata, antara program yang sedang dilaksanakan adalah sistem parol sejak 2008 dan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL), Pusat Kehadiran Wajib (PKW) dan Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP).
“Untuk PRP, hanya enam negeri sahaja yang melaksanakannya iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Johor dan Sabah.
“Di Sabah, penghuni atau orang yang diselia di PRP akan bekerja dalam bidang pertanian dan ada juga yang bekerja di pusat ternakan ayam dan kilang yang berada pada jarak 40 kilometer dari PRP Tuaran.
“Mereka yang berada di PRP juga menerima elaun RM200 setiap bulan yang disimpan dalam tabung amanah dan boleh diambil apabila mereka dibebaskan kelak,” katanya semasa majlis jalinan kasih sempena Pesta Kaamatan dan Hari Raya Aidiladha, di Penjara Pusat Kota Kinabalu, semalam.
Jaini berkata, apabila dibebaskan kelak orang yang diselia di PRP boleh mengambil elaun yang diperoleh sepanjang berada di pusat yang boleh menempatkan sehingga 480 orang penghuni pada satu-satu masa.
Menurut beliau, penghuni yang ditempatkan di PRP adalah mereka yang menjalani baki hukuman 36 bulan ke bawah.
Mengulas tentang program hari ini, beliau berkata, daripada 2,851 orang penghuni, seramai 29 penghuni telah dipilih bagi mengadakan pertemuan bersama keluarga masing-masing pada kali ini.
Program itu penting dalam memastikan penghuni yang ditempatkan di penjara mendapat sokongan keluarga masing-masing agar lebih mudah untuk mereka kembali kepada komuniti selepas dibebaskan kelak.










