KUALA TERENGGANU: Peniaga durian di Terengganu mampu meraih pendapatan sehingga RM40,000 hasil jualan pelbagai jenis raja buah itu dalam tempoh tiga hari.
Mohd Sufian Saleh, 34, berkata, kebanyakan peniaga durian di negeri itu tidak menang tangan menerima permintaan peminat raja buah itu sejak dua minggu lalu.
Katanya, dia memborong durian dari Lenggong, Perak memandangkan durian Terengganu belum luruh sepenuhnya ketika ini.
“Biasanya saya akan borong lima tan pelbagai jenis durian daripada varieti durian kampung hinggalah durian premium seperti Musang King dan durian Duri Hitam (Black Thorn).
“Harga yang dijual pula daripada RM13 satu kilogram (kg) untuk durian kampung gred A dan paling mahal ialah RM60/kg untuk durian Duri Hitam.
“Alhamdulillah, jualan sangat menggalakkan kerana kita dapat jual tiga tan durian bernilai RM40,000 dalam tempoh tiga hari sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kedai Buluh, di sini.
Beliau berkata, ketika ini, dia dibantu tujuh orang pekerja untuk membantu perniagaan yang dibuka bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Ditanya mengenai sambutan orang ramai pula, katanya, durian tetap laris di pasaran walaupun dalam keadaan ekonomi yang agak tidak stabil ketika ini.
“Bila bercakap tentang durian, peminat setianya akan tetap memperuntukkan sebahagian wang mereka untuk membeli durian,” katanya.










