Penganggur mengaku tidak bersalah cabul dua anak saudara

Penganggur mengaku tidak bersalah cabul dua anak saudara

TERTUDUH (tengah) semasa untuk prosiding perbicaraan di Makhamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul dua anak saudara perempuannya di dua lokasi berbeza dalam daerah ini kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 50 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu hadapan Majistret Rais Imran Hamid selepas pertuduhan tersebut dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap wanita yang berusia 22 tahun dengan niat mencabul kehormatan mangsa di sebuah rumah di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 16 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh melakukan perbuatan sama terhadap wanita yang berusia 20 tahun dengan niat mencabul kehormatan mangsa di sebuah rumah lain di sini kira-kira pukul 3 pagi pada 18 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd. Amin.

Terdahulu, Syazalia mencadangkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Ariyani dalam rayuannya memohon ikat jamin tersebut dikurangkan kerana tertuduh ketika ini tidak bekerja.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh tidak membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN