JELEBU: Penduduk di Kampung Gagu, di sini, kini bimbang dengan kehadiran harimau kumbang di kampung tersebut sejak beberapa hari lalu.
Mohd. Kaharudin Ibrahim, 60, berkata, ayam ternakannya juga banyak mati dipercayai dibaham harimau kumbang selepas kelibat haiwan itu dilihat empat hari yang lalu.
“Saya sangkakan ayam kampung yang diternak mati akibat dimakan musang namun empat hari lalu saya terdengar bunyi bising di reban kira-kira pukul 9.30 malam dan melihat dari dalam rumah.
“Saya tidak sangka ternampak harimau kumbang bersaiz besar. Sekarang, saya jadi takut mahu keluar rumah lebih-lebih lagi selepas senja.
“Ke surau pun saya tidak pergi dalam tempoh seminggu ini kerana harimau kumbang ini berani menangkap ayam yang tidur di pokok sekitar rumah walaupun banyak lampu telah dipasang,” katanya kepada pemberita di Kampung Gagu, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Kaharudin lagi, dia kini sudah menerima perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhampiran rebannya dan dia turut membeli seekor itik angsa untuk dijadikan sebagai umpan.
Menurutnya, umpan berkenaan akan diletakkan di dalam perangkap pada waktu senja dan dikeluarkan semula pada siang hari.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai kehadiran haiwan pemangsa yang telah menyerang haiwan ternakan mereka.
Menurutnya, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan meminta Jabatan Perhilitan untuk menyiasat dan mencari penyelesaian terhadap aduan ini.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian, pihak jabatan mendapati terdapat kesan kehadiran disyaki spesies harimau kumbang di kawasan reban pengadu. Jabatan Perhilitan telah memasang perangkap di lokasi kejadian,” katanya.-UTUSAN.










