MERSING: Seorang pemuda dilaporkan hilang selepas keluar mencari kerang di Pantai Tenglu Laut, di sini semalam.
Difahamkan, Hafiz Nursalam Ahmad, 21, tidak pulang ke rumah sejak petang semalam sebelum pihak keluarga melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan pemuda itu pada pukul 12.55 malam tadi.
“Mangsa adalah seorang lelaki tempatan umur 21 tahun dikatakan mencari kerang di sekitar pantai Tenglu Laut dan tidak balik sejak petang semalam.
“Mangsa adalah orang Mersing dan selalu mencari kerang di kawasan berkenaan. Keluarga ada mencari mangsa di lokasi itu selepas dia tidak balik ke rumah, namun hanya menjumpai motosikal dan selipar mangsa.
“Ekoran itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan sejak pukul 8 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini.
Katanya, SAR tersebut melibatkan 48 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sebanyak lapan buah bot turut digunakan dalam operasi pencarian melibatkan kawasan laut selain di pesisiran pantai. – UTUSAN









