Pembunuh sebenar masih di luar - Bapa Zayn Rayyan

Pembunuh sebenar masih di luar – Bapa Zayn Rayyan

Ahli keluarga suspek kes bunuh Zayn Rayyan berhimpun di hadapan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bapa kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, mendakwa pembunuh sebenar anaknya itu pada Disember tahun lalu masih bebas dan belum ditangkap polis.

Perkara itu dinyatakan oleh peguamnya, Ilyani Khuszairi ketika lelaki tersebut dan isterinya di bawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk perintah sambung reman enam hari lagi.

Ilyani berkata anak guamnya sering mengatakan pembunuh sebenar anak mereka masih berada di luar.

“Mereka berada dalam keadaan yang sangat tertekan. Dapat tengok muka suspek lelaki itu menangis ketika ditanya soalan, dan sering mengatakan bahawa pembunuh sebenarnya ada di luar,” katanya ketika ditemu selepas prosiding berkenaan.

Terdahulu pasangan suami isteri berkenaan tiba di mahkamah tersebut pada pukul 9.30 pagi dengan pakaian berwarna ungu dengan tulisan lokap polis dan diiringi sekumpulan anggota polis.

Keadaan bertukar kecoh dan sedikit emosi apabila lelaki berkenaan menjerit ‘Ini semua fitnah, kami dianiaya’ kemudian disusuli oleh teriakan ahli keluarga mereka ‘Zaim, Isma you have to be strong’.

Bagaimanapun, seorang suspek wanita kelihatan tertekan dan hanya diam ketika diiringi polis.

Dalam pada itu, ahli keluarga yang diketuai Datuk Zayn Rayyan pula mempamerkan gegantung ‘Keadilan untuk Zayn Rayyan’ dan ‘Keadilan untuk Zaim dan Isma’ di luar pekarangan mahkamah sebaik sahaja pasangan itu memasuki bilik prosiding.

Bapa suspek juga menyatakan kepada anak lelakinya itu supaya tidak menjadi `kambing hitam’.

Semalam, Majistret Ainaa Muhamad Kamal membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman pasangan suami isteri itu bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak tersebut.

Sementara itu seorang lagi peguam pasangan tersebut, Fahmi Abd. Moin berkata, perintah sambung reman yang dikeluarkan itu akan dilanjutkan sehingga 12 Jun bermula semalam.

“Polis memohon untuk sambung reman selama tujuh hari tetapi mahkamah menetapkan mereka disambung reman selama enam hari.

“Sepatutnya mereka tidak perlu ditahan terlalu lama tetapi polis meminta berdasarkan bahan bukti selama penahanan reman sebelum ini. Diharapkan mereka dilepaskan selepas enam hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ilyani berkata, anak guamnya mengharapkan kes tersebut dapat diselesaikan segera selain siasatan dapat dijalankan secara telus dan adil agar keadilan terhadap arwah anak mereka dapat ditegakkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×