Pembinaan sekolah penuhi keperluan penduduk pedalaman

Pembinaan SK Rancangan Belia Tiulon penuhi keperluan penduduk pedalaman

ARTHUR Joseph Kurup menyempurnakan acara pecah tanah SK Rancangan Belia Tiulon, Sook di Keningau semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENINGAU: Pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Belia Tiulon, Sook dengan kos RM26.9 juta akan menampung keperluan murid yang semakin meningkat di kawasan yang berada jauh di pedalaman.

Timbalan Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek membina sekolah baharu itu adalah inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan pembangunan infrastruktur pendidikan yang selesa dan selamat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pembangunan sekolah itu selaras dengan permintaan masyarakat setempat yang mahukan sebuah sekolah dibina di Kampung Rancangan Belia Tiulon.

Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, pembinaan bangunan baharu SK Rancangan Belia Tiulon yang dijangka siap pada suku keempat 2026 itu merangkumi enam bilik darjah, bangunan pentadbiran, lapan unit kuarters guru, sebuah makmal sains serta sebuah bengkel reka bentuk teknologi.

“Projek ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen kerajaan perpaduan dalam bidang pendidikan berteraskan kepada keperluan rakyat.

“Usaha ini dapat memastikan pelajar mendapat infrastruktur dan persekitaran pendidikan yang selesa bagi membolehkan mereka mencapai perkembangan diri yang optimum.

“Saya ingin berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas usaha berterusan untuk menaik taraf dan membina baharu sekolah daif di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sehingga kini, sebanyak empat buah sekolah daif telah dinaik taraf dan diserahkan kepada pihak pengurusan sekolah di Parlimen Pensiangan.

Empat sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Inandung, SK Simbuan, SK Penagatan dan SJK (C) Cheng Ming. Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tulid dalam fasa perancangan dan SMK Nabawan sedang dalam fasa pembinaan.

Beliau percaya persekitaran pembelajaran memainkan peranan yang penting dalam menjamin keberkesanan pengajaran.

Jelas beliau, dengan adanya fasiliti pendidikan yang kondusif dan selamat, pelajar akan dapat memberi lebih tumpuan terhadap pembelajaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×