JOHOR BAHRU: Pemandu van sekolah yang melanggar seorang kanak-kanak prasekolah di Jalan Suria, Bandar Seri Alam di sini semalam dibebaskan dengan jaminan usai siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pemandu van yang berusia 50 tahun itu dibebaskan pagi tadi selepas keterangannya diambil.
“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod saman trafik, manakala perkhidmatan van sekolah yang dijalankan beroperasi secara sah. Selain itu, polis juga telah memanggil ibu mangsa untuk diambil keterangan walaupun semasa kejadian dia berada dalam rumah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 11.35 pagi semalam apabila van sekolah berkenaan tiba di hadapan rumah mangsa, Nurhafizah Nuljin, 5, dan abangnya, Muhammad Afieq Miqhael, 6.
“Selepas menurunkan dua beradik itu, pemandu melihat abang mangsa turun dan melintasi bahagian belakang van sekolah, sekali gus beranggapan mangsa turut mengikutinya sebelum meneruskan perjalanan.
“Namun, apabila pemandu van menggerakkan kenderaan, baharu dia sedar telah melanggar mangsa yang melintasi bahagian depan van sekolah terbabit tanpa disedari,” katanya.
Pemandu itu turut memaklumkan bahagian hadapan van sekolah itu terangkat sebelum dia memberhentikan kenderaan tersebut.
“Kanak-kanak tersebut tidak diseret seperti didakwa dan mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Masai sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala,” jelasnya. – UTUSAN









