Pelajar boleh ambil jurusan sama di dua universiti berbeza

Pelajar boleh ambil jurusan sama di dua universiti berbeza

MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Institusi pendidikan tinggi (IPT) boleh memperkenalkan kaedah pendidikan fleksibel terbaharu iaitu dengan membenarkan pelajar mengikuti pengajian sekurang-kurangnya di dua buah universiti berbeza dalam jurusan sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, bentuk pengajian itu merupakan satu indikator pendidikan tinggi masa hadapan yang dicadangkan bermula pada tahun depan.

Beliau berkata, inisiatif pengajian ini adalah dengan cara pemindahan kredit dan pelajar perlu menghabiskan minimum 30 peratus masa pengajian kursus masing-masing di universiti pertama (institusi penganugerah).

“Misalnya, pelajar A mengikuti ijazah sarjana muda Sains Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM), jadi 30 peratus daripada 120 jam kredit perlu dipelajari di UPM.

“Masa selebihnya pelajar berkenaan boleh mengikuti pengajian kursus yang sama di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai contoh, dengan syarat program itu diterima pakai untuk penerimaan ijazah,” katanya kepada Utusan Malausia, semalam.

Katanya, MQA komited membuka platform program ini di Malaysia dengan memperkenalkan inisiatif itu melalui konsep ‘Pelbagai Universiti Satu Penganugerahan’.

Katanya, IPT yang terlibat perlu memastikan setiap program itu sudah mendapat akreditasi penuh.

Jelasnya, persetujuan dan kerjasama antara IPT yang terlibat memainkan peranan signifikan untuk dimulakan di 20 universiti awam (UA) terlebih dahulu.

“Sebagai permulaan, kita pilih satu atau dua program rintis untuk menunjukkan kelebihan mengikuti laluan ini kerana selain mendapat ilmu, pelajar dapat meraih pengalaman kampus dan suasana di universiti berbeza.

“Melalui kaedah ini, pelajar boleh belajar di lebih daripada satu universiti untuk mengikuti sesuatu program (yang terpilih),” katanya.

Jelasnya, program ‘Pelbagai Universiti Satu Penganugerahan’ akan menjadi lebih baik sekiranya dapat dilaksanakan dengan kerjasama universiti luar negara di masa hadapan.

Katanya, sebagai permulaan boleh dilaksanakan antara IPT negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura seterusnya di negara ASEAN lain.

“Banyak kelebihan dapat diraih sekiranya dapat dijayakan di rantau ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×