TAMPIN: Seorang lelaki warganegara Bangladesh meninggal dunia selepas tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak projek di Gemencheh, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, mangsa berusia 29 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika diberikan rawatan kecemasan Klinik Kesihatan Gemencheh di sini.
Menurut beliau, kira-kira pukul 10.50 pagi, pihaknya telah menerima makluman daripada orang awam memberitahu seorang lelaki telah tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak projek di Gemencheh.
Katanya, mangsa telah diselamatkan oleh pekerja-pekerja binaan yang berada di lokasi dan telah mendapat rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Gemencheh.
“Siasatan awal mendapati, semasa kejadian mangsa berada di dalam lubang yang baru dikorek sedalam tujuh kaki dan lebar lebih kurang lima kaki untuk kerja-kerja pemasangan paip saluran najis bagi projek perumahan tersebut.
“Tiba-tiba tebing lubang telah runtuh dan menimbus mangsa sehingga paras kepala. Mangsa dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 11.25 pagi oleh doktor dari klinik kesihatan berkenaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Amiruddien berkata, mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Tampin untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).-UTUSAN.









