Pastikan persekitaran selamat buat kanak-kanak - Utusan Malaysia

Pastikan persekitaran selamat buat kanak-kanak

SEBAHAGIAN hadirin dan peserta pada Majlis Perasmian Program Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Kebangsaan (SK) Salak Nama, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini tampil mengambil langkah proaktif melaksanakan program bagi memberikan kesedaran kepada murid sekolah mengenai keselamatan jalan raya.

Program berkenaan diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Salak Nama di sini yang melibatkan penyertaaan seramai 50 orang murid termasuk dari sekolah-sekolah berhampiran seperti SK Pedas, SK Pilin, SK Kampong Batu, dan SK Bongek.

Penasihat program berkenaan, Prof. Madya Dr. Masria Mustafa berkata, program berkenaan memasuki tahun keempat penganjuran  dan secara keseluruhannya tahun ini, seramai 40 pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam UiTM terlibat dengan 28 orang daripadanya melaksanakan program secara fizikal di sini.

“Selebihnya pula mengendalikan program secara dalam talian membabitkan golongan remaja di universiti di Kemboja dan di Filipina.

“Program ini membuktikan komitmen bakal jurutera kelahiran UiTM untuk memperkasakan komuniti dan memastikan setiap kanak-kanak berpeluang untuk berkembang maju dalam persekitaran yang selamat dan inklusif.

“Program ini adalah sebahagian daripada Program Service Learning Malaysia-University For Society (SULAM) yang merupakan medium penting bagi mahasiswa untuk melibatkan diri dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian program berkenaan di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Wan Kefli Hamid.

Sementara itu, Wan Kefli berkata, kemalangan membabitkan pengguna jalan raya termasuklah murid sekolah bukanlah suatu perkara yang baharu dan pihaknya sentiasa memandang secara serius mengenainya.

Oleh itu, ujar beliau, pendidikan keselamatan murid sekolah amat penting kerana ia melindungi kanak-kanak daripada sebarang kemalangan.

“Pihak sekolah khususnya guru justeru perlulah peka serta bertanggung jawab memastikan keselamatan kanak-kanak bermula di sekolah tidak diabaikan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN