WASHINGTON: Seorang pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) menggesa negara itu untuk mengenakan label amaran seperti merokok pada aplikasi media sosial.
Vivek Murthy berkata, media sosial meningkatkan risiko pada kesihatan mental kanak-kanak, yang akan mendedahkan mereka mengalami gejala kebimbangan dan kemurungan.
Menulis di New York Times, Murthy mahu mereka yang mengakses media sosial menunjukkan mesej amaran platform itu dikaitkan dengan bahaya kesihatan mental kepada remaja.
Beliau berkata, label sedemikian akan selalu mengingatkan ibu bapa dan remaja media sosial belum terbukti selamat.
Label amaran pertama kali diletakkan pada bungkusan rokok di AS pada tahun 1966, selepas Pakar Bedah Awam, Luther L Terry ketika itu menerbitkan laporan yang mengaitkan tembakau dengan kanser paru-paru.
Negara-negara lain kemudiannya mengikut langkah sama, dengan United Kingdom (UK) meletakkan mesej serupa untuk cetakan pada tahun 1971.
Murthy berkata, penambahan label amaran pada pembungkusan tembakau terbukti meningkatkan kesedaran mengenai risiko merokok.
Beliau percaya, jika amaran sama digunakan pada platform media sosial, ia akan menggalakkan ibu bapa memantau keselamatan anak mereka.
Dalam artikel itu, Murthy turut menggesa supaya penggunaan telefon pintar diharamkan di sekolah, selain ibu bapa perlu mengelakkan kanak-kanak daripada menggunakan peranti semasa makan dan sebelum tidur.
Saranan itu dibuat selepas Murthy menerbitkan nasihat kesihatan awam pada 2023, yang menemukan kaitan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja dengan kesihatan mental.
Beliau menggesa supaya lebih banyak penyelidikan dibuat kerana belum ada konsensus akademik mengenai kesan platform ini.
“Krisis kesihatan mental di kalangan orang muda adalah kecemasan, dan media sosial muncul sebagai penyumbang penting,” katanya.
BBC menghubungi aplikasi YouTube, TikTok, X dan Meta, yang memiliki Facebook dan Instagram, untuk mendapatkan ulasan lanjut.











