KUANTAN: Seorang pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah bernilai RM3,200 antara tahun 2018 dan 2022.
Tertuduh, Solehuddin Isa, 37, membuat pengakuan terbabit setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Solehuddin yang bertugas sebagai Pembantu Penguasa JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerima wang bernilai antara RM300 hingga RM2,000 dari seorang individu sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori milik sebuah syarikat yang membawa keluar barang dari Kargo KLIA.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bank di Temerloh antara 31 Julai 2018 hingga 11 September 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Pertuduhan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Afif Ali mohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan lain.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Nazri Yahya dan Mohd. Faiz Omar memohon agar wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 berikutan tertuduh yang sudah berumahtangga memiliki enam cahaya mata berusia 10 tahun hingga tiga bulan.
Bagaimanapun mahkamah memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya dan mengarahkan tertuduh dan ejen tidak mengacau ganggu saksi sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah turut memutuskan 19 Julai sebagai tarikh penyerahan dokumen dan urusan kes.
SPRM sebelum ini mendedahkan jumlah ketirisan hasil cukai mencecah RM2 bilion akibat kegiatan sindiket penyeludupan babitkan beberapa anggota JKDM di Kargo KLIA Sepang. – UTUSAN










