Nyaris kemalangan disebabkan pokok jati tua

Nyaris kemalangan disebabkan pokok jati tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ibarat perangkap maut. Itu kegusaran pengguna jalan raya khususnya ketika cuaca buruk apabila melalui jalan Guar Sanji sehingga Simpang Empat sepanjang 12 kilometer di sini yang kanan dan kirinya dipenuhi pokok jati tua berusia puluhan tahun.

Pokok-pokok jati tua tersebut bukan sahaja berisiko disebabkan strukturnya yang tidak kukuh malah turut mengundang bahaya sewaktu hujan lebat dan ribut kencang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Tahar Abdul Ghani, 70, berkata, dia juga sebelum ini pernah beberapa kali nyaris kemalangan disebabkan oleh ranting dan dahan pokok tua itu yang jatuh sewaktu melalui jalan berkenaan.

“Ketika melalui jalan ini menggunakan motosikal, ranting dan dahan pokok pernah beberapa kali hampir terkena saya dan nyaris menyebabkan kemalangan.

“Dahan dan ranting-ranting ini akan jatuh dengan mudah setiap kali angin kuat disebabkan struktur kebanyakan pokok sudah tidak kuat dan tua,” katanya.

Tambah Tahar, pokok-pokok tua di tepi jalan sekitar negeri ini sewajarnya ditebang memandangkan kebanyakannya berusia lebih 30 tahun dan sudah tua.

Sementara itu, seorang peniaga warung bersebelahan Jalan Tambun Tulang di sini, Halim Husin, 66, berkata, beberapa kes kemalangan pernah berlaku di kawasan tersebut sebelum ini sehinggakan ada di antaranya turut menyebabkan maut.

Katanya, pihak berwajib juga perlu memasang penghadang jalan di tepi jalan itu selepas pokok-pokok berkenaan ditebang bagi menjamin keselamatan pengguna lalu lintas.

“Apabila pokok-pokok ini ditebang, kenderaan berisiko untuk terjunam ke dalam sungai di bersebelahan jalan ini sekiranya berlaku kemalangan.

“Jadi pihak berwajib perlu membuat penghadang jalan di tepi jalan ini supaya kenderaan tidak berisiko masuk ke dalam sungai seandainya berlaku kemalangan atau terbabas,” katanya.

Tambahnya, pokok-pokok yang ditebang itu juga dapat memberi hasil kepada kerajaan negeri memandangkan kayunya boleh dijual untuk pelbagai kegunaan lain.

“Keselamatan pengguna lalu lintas perlu diutamakan dan pokok-pokok ini perlu ditebang segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×