Negeri Sembilan tidak benarkan kaedah bunuh anjing terbiar - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan tidak benarkan kaedah bunuh anjing terbiar

J. ARUL Kumar (dua dari kiri) turut menyertai operasi tangkapan anjing terbiar selepas menerima beberapa aduan penduduk di kawasan Mantin, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak membenarkan sebarang tindakan menerusi kaedah pembunuhan dilaksanakan terhadap anjing terbiar yang ditangkap di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, sebaliknya anjing-anjing yang ditangkap dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dihantar ke pusat perlindungan diuruskan oleh NGO terbabit.

“Tindakan ini bukan sahaja kepada anjing tetapi juga kepada semua haiwan peliharaan. Kerajaan negeri mengambil perhatian serius isu anjing terbiar di kawasan perumahan yang mengganggu ketenteraman dan menyebabkan kemalangan serta mendatangkan bahaya kepada penduduk. 

“Untuk itu, bagi mengatasi masalah ini kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk memandulkan anjing-anjing terbiar atau tidak bertuan yang ditangkap sebagai salah satu langkah untuk mengawal populasi anjing termasuk beberapa kawasan melaksanakan program perangkap, mandul dan dilepaskan (TNR),” katanya ketika dihubungi. 

Beliau berkata, kaedah pemandulan anjing terbiar yang ditangkap dan TNR ini adalah satu kaedah jalan tengah untuk mengatasi aduan anjing terbiar dan pada masa yang sama ia juga tidak melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015. 

“Kaedah ini dimulakan pada awal tahun ini dan keberkesanannya akan mengambil sedikit masa untuk dilihat dan saya juga telah meminta kepada semua PBT untuk melakukan tangkapan anjing di kawasan yang mempunyai aduan dengan lebih agresif agar isu ini dapat dikawal,” katanya lagi.

Menurut beliau, peruntukan sebanyak RM100,000 telahpun disediakan kerajaan negeri bagi tujuan pemandulan dan setakat bulan Mei lalu, sebanyak 378 ekor anjing telah ditangkap dan dimandulkan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×