SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan belum bersedia memberikan kebenaran kepada pihak syarikat pemaju perumahan untuk membina rumah mampu milik jenis A berstrata di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, antara isu utama kebenaran tersebut tidak dapat diberikan setakat ini adalah berkaitan masalah penyelenggaraan yang bakal dihadapi oleh pihak badan pengurusan bersama (JMB).
“Kita kena tahu kebanyakan penduduk di sana nanti berpendapatan rendah, beberapa pangsapuri sedia ada pun kita berhadapan masalah apabila JMB tidak dapat mengutip bayaran penyelenggaraan dari penduduk setiap bulan. Ia kelak memberikan masalah kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula.
“Negeri Sembilan belum bersedia, bukan kita tidak mahu tetapi kerajaan negeri perlu mencari kaedah terlebih dahulu bagi memastikan bayaran penyelenggaraan ini dapat dibuat dengan baik oleh pemilik-pemilik rumah berkenaan.
“Langkah memberi kesedaran kepada pemilik rumah tersebut berkaitan kepentingan menyelesaikan fi penyelenggaran akan dibuat sebelum ke peringkat tindakan undang-undang diambil sekiranya mereka ingkar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Negeri Sembilan berharap supaya kerajaan negeri mempertimbang untuk memberikan kebenaran kepada pemaju perumahan bagi membina rumah mampu milik jenis A berstrata di kawasan bandar khususnya di Seremban dan Nilai.
Pengerusinya, Desmond Yap Poh Seng berkata, menerusinya, penggunaan tanah yang lebih efisien akan dilihat sekali gus menambah bekalan perumahan di kawasan bandar berbanding bagi pembinaan rumah teres.
Sementara itu, Arul Kumar menjelaskan, kegagalan mengutip bayaran penyelenggaran oleh JMB akhirnya mendatangkan beban pula kepada pihak kerajaan.
“Ada beberapa JMB boleh mendapat sehingga 90 peratus kutipan namun ada di antara mereka tidak dapat sampai 30 peratus kutipan tersebut. Jika perkara itu berlaku dan kita pula banyak rumah bertingkat akhirnya kerajaan nanti yang perlu mengeluarkan kos.
“Sekarang pun banyak berstrata kos sederhana dan rendah, JMB memohon peruntukan kepada pihak pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menampung kos penyelenggaraan mereka.
“Ada JMB apabila tidak dapat menerima peruntukan mereka biarkan sahaja aspek penyelenggaraan sehinggakan berlaku kejadian paip pecah di kawasan itu yang menyebabkan caj air mencecah jutaan ringgit,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun memberitahu, dalam Dasar Perumahan Negeri Sembilan sekiranya projek perumahan yang dibangunkan pemaju di sesuatu kawasan itu adalah kesemuanya jenis bertingkat, kerajaan negeri memang memberikan kebenaran untuk pemaju membangunkan rumah mampu milik jenis A bertingkat.
“Namun jika pembangunan perumahan itu bercampur iaitu bertingkat dan kediaman bertanah, dalam dasar itu rumah mampu milik jenis A mesti didirikan secara kediaman bertanah,” katanya lagi.-UTUSAN.










