BATU PAHAT: Mangsa keempat nahas membabitkan kereta BMW yang merempuh sebuah treler di Kilometer 123.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Pagoh malam tadi meninggal dunia.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam kejadian pukul 8.23 malam itu, kereta BMW 3 Series itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun membawa tiga wanita warganegara Vietnam berumur 19 hingga 32 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati treler yang yang dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru itu mengalami kerosakan enjin.
“Keadaan menyebabkan pemandu treler berkenaan terpaksa menghentikan kenderaan itu di tengah-tengah jalan. Ketika pemandu lori sedang menunggu bantuan daripada pasukan Plus Ronda, kereta BMW yang dipandu mangsa yang datang dari arah sama secara tiba-tiba merempuh belakang treler berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Akibatnya, pemandu kereta BMW bersama dua penumpang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat.
Seorang lagi penumpang kereta BMW yang juga wanita warganegara Vietnam maut ketika mendapatkan rawatan di hospital sama, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM10,000.
Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menerusi Hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau Hotline Polis IPD Batu Pahat 07-4343999. – UTUSAN









