Nahas bas persiaran-treler di Rompin: Ustazah Adilah sempat mengucap dua kalimah syahadah - Utusan Malaysia

Nahas bas persiaran-treler di Rompin: Ustazah Adilah sempat mengucap dua kalimah syahadah

ASMANIZA Mohamad (kanan) ketika ditemui di unit forensik Hospital Muadzam Shah di Rompin, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Guru Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka, Hasnatul Adilah Hassan, 48, sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Mangsa dipercayai tercampak keluar dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan treler berhampiran simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat di sini, awal pagi hari ini.

Seorang mangsa yang juga penumpang bas persiaran berkenaan, Asmaniza Mohamad, 50, berkata, dia bersama seorang lagi guru sekolah terbabit merupakan antara individu terawal yang menemukan mangsa.

Katanya, ketika ditemukan, mangsa masih dalam keadaan sedar dan sempat bertanya di mana anak bongsunya, Muhammad Farouq Saifullizan, 12, yang turut serta dalam lawatan penanda aras SK Jeram ke SK Kompleks Seberang Takir, Terengganu.

Tambahnya, ketika menghampiri Hasnatul Adilah, mangsa yang merupakan ustazah di SK Jeram berada dalam keadaan tertiarap berhampiran sebagang pokok kemungkinan tercampak keluar daripada bas.

“Arwah sempat tanya di mana anak arwah, saya beritahu anaknya dalam bas tetapi rupa-rupanya anak dia di atas jalan, tercampak keluar.

“Kemudian seorang lagi cikgu yang bersama arwah sempat mengajar arwah mengucap sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya memberitahu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bercerita lanjut Asmaniza berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan secara tiba-tiba merasakan bas sedang berpusing.

“Saya tidak perasan berapa kali bas berpusing tetapi bas terbalik ke sebelah kanan saya dan saya kemudiannya dihimpit oleh penumpang lain.

“Saya berasa sesak nafas dan saya berjaya melonjakkan badan untuk melepaskan diri sebelum mencari laluan keluar. Kemudian saya jumpa laluan keluar melalui pintu bumbung bahagian tengah bas.

“Ketika keluar, saya dengar jeritan minta tolong dan ketika itu saya nampak Ustazah Adilah (mangsa) dan saya terus memanggil seorang lagi cikgu untuk melihat keadaan ustazah,” katanya.

Dalam pada itu, tiga maut manakala 37 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan bas persiaran dan treler di Kilometer 126, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini awal pagi tadi.

Dua lagi mangsa, Hamzah Ahmad, 60, pembantu operasi SK Jeram meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, dekat sini manakala pemandu kedua bas persiaran, Hadi Ashraf Mad Idris, 29, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.

Jenazah Hasnatul Adilah dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Ramuan Masjid Cina, Masjid Tanah, Melaka.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, kejadian 12.40 pagi itu mengakibatkan bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN