PUTRAJAYA: Malaysia dan China sepakat dalam kerjasama pelbagai bidang melalui pertukaran 14 memorandum persefahaman (MoU) sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Li Qiang ke Malaysia bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Majlis pertukaran MoU itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Li melibatkan sembilan kementerian meliputi kerjasama perdagangan, komunikasi, pelancongan dan keselamatan.
Antara intipati hasil perbincangan dua hala ialah tekad kedua-dua negara untuk memperkasa serta mempelbagaikan lagi aktiviti perdagangan antara Malaysia dan China.
Pada suku pertama tahun ini, perdagangan Malaysia dengan China mencatat kenaikan kepada RM112.28 bilion daripada RM108.66 bilion tahun lalu meliputi jumlah eksport dari Malaysia ke China sebanyak RM44.5 bilion dan import dari China sebanyak RM67.78 bilion.
Di bawah kerjasama dengan Kementerian Kewangan, Anwar dan Li Qiang bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama dalam Kerjasama Jendela Tunggal yang memberi ruang kepada kedua-dua negara untuk berbincang dan mengkaji lebih mendalam pendekatan terbaik terutamanya melalui inisiatif Jendela Tunggal Nasional (NSW).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama itu meningkatkan kecekapan proses perdagangan rentas sempadan melalui pendigitalan proses kawal selia perdagangan.
Katanya, ia termasuk penghapusan keperluan mengemukakan dokumentasi lewah dan menggalakkan pertukaran maklumat yang lebih lancar serta tepat antara pemegang taruh dan rakan dagang lain.
“Usaha untuk membangunkan kerjasama jendela tunggal ini juga menyantuni aspirasi kerangka Ekonomi Madani yang menekankan transformasi digital dan memudah cara perniagaan bagi merancakkan lagi ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Berhubung kerjasama perdagangan, sebanyak tiga pertukaran MoU dimeterai antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan Kementerian Perdagangan China membabitkan pengukuhan kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital serta pembangunan hijau.
MoU itu meliputi pusingan kedua program lima tahun bagi pelan kerjasama strategik komprehensif ekonomi dan perdagangan (2024-2028) melibatkan pertanian, pembuatan, logistik, ekonomi digital, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perkhidmatan kewangan.
Melalui MoU pengukuhan kerjasama ekonomi digital, ia memberi fokus untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan dan penyertaan sektor swasta untuk mengintegrasikan teknologi bagi membangunkan model perniagaan baharu.
Ia merangkumi telekomunikasi, pendidikan digital, teleperubatan dan pembayaran digital dalam dorongan baharu ekonomi digital.
Selain itu, MoU pelaburan dalam menggalakkan ekonomi hijau membabitkan kerjasama kerajaan, industri, institusi kewangan dan tenaga baharu bagi kenderaan seperti kuasa bateri, integrasi pengurusan sisa selain infrastruktur pembinaan hijau.
Kedua-dua negara juga bersetuju untuk pembangunan platform sains dan teknologi inovasi untuk menggalakkan penyelidikan bersama dengan membangunkan pusat pembangunan penyelidikan (R&D), makmal dan inkubator. – UTUSAN










