Malaysia, China bincang potensi perluas hubungan perdagangan - Utusan Malaysia

Malaysia, China bincang potensi perluas hubungan perdagangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan China bincang potensi memperluaskan hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang disentuh ketika beliau dan Premier China, Li Qiang mengetuai delegasi kedua-dua kerajaan dalam mesyuarat bilateral selama lebih satu jam.

“Saya dan Premier Li senada untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara, berlandaskan nilai-nilai yang dikongsi bersama di bawah konsep Madani dan ‘Komuniti Masa Depan Bersama’.

“Perbincangan kami juga menyentuh potensi memperluaskan hubungan perdagangan kedua-dua negara. Ketika ini, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia turut mengalu-alukan lebih banyak perkongsian strategik dan pelaburan bernilai tinggi dari China ke negara ini.

Katanya, ia sebagai kesinambungan prestasi pelaburan tahun lalu di mana 64 pelaburan dari China bernilai 2.6 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) diluluskan membabitkan hampir 10,000 peluang pekerjaan baharu.

“Dalam mesyuarat ini, saya zahirkan penghargaan atas kunjungan penuh bermakna delegasi China ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, mesyuarat turut menyentuh kemajuan projek antara kedua-dua negara seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembah Automotif Berteknologi Tinggi serta beberapa bidang lain yang berpotensi untuk diteroka bersama.

Katanya, ia termasuk bidang kenderaan elektrik (EV), pelancongan, pertanian, ekonomi digital, pendidikan dan teknologi.

“Kami juga membincangkan isu geopolitik serantau dan yang terkait kepentingan bersama seperti potensi kerjasama ASEAN-China di bawah kepengerusian Malaysia tahun depan, Dasar Satu China dan situasi di Laut China Selatan.

“Saya nyatakan keperluan untuk China memainkan peranan dalam soal krisis kemanusiaan di Myanmar, selain menzahirkan penghargaan atas sokongan tegas China terhadap Palestin.

“Saya turut mengambil kesempatan untuk menjemput Presiden Xi Jinping untuk mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia secepat mungkin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN