REMBAU: Kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit di Kilometer 243, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dari arah Senawang ke Pedas di sini telah menyebabkan aliran trafik sesak sehingga 15 kilometer (km)
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, sepasukan 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dan Senawang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian pada pukul 12.29 tengah hari.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit yang terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dan melintang di tengah lebuh raya itu.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 30oan tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan keluaran operasi (PKO).
“Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada pukul 2.58 petang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar jurucakap JBPM lagi kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak diserahkan ke pihak Plus untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Plus dalam satu makluman di media sosial menyatakan kemalangan melibatkan lima buah kereta dan lori tangki di lokasi berkenaan.
Sehingga pukul 4 petang tadi, lorong kanan arah selatan dan lorong kanan serta tengah arah utara masih ditutup. Keadaan menyebabkan trafik sesak 15 kilometer arah utara dan sesak sembilan kilometer arah selatan.-UTUSAN.









