Lima ditahan promosi seks, jual ubat kuat dalam media sosial - Utusan Malaysia

Lima ditahan promosi seks, jual ubat kuat dalam media sosial

DUA wanita antara lima ditahan disyaki terbabit dalam aktiviti mempromosi seks dan penjualan ubat kuat di laman sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua wanita antara lima ditahan disyaki terbabit dalam aktiviti mempromosi seks dan penjualan ubat kuat di laman sosial sehingga mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

Kesemua suspek terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berumur 17 hingga 26 tahun dipercayai menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk menawarkan perkhidmatan seks dan mempromosikan aktiviti persundalan di laman sosial.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pencegah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sindiket turut bergiat aktif menjual rakaman video lucah dan ubat seks melalui laman media sosial.

“Modus operandi  adalah dengan mengajak pelanggan untuk melanggan Telegram suspek dengan bayaran sekitar RM450 sehingga RM550 untuk setiap langganan.

“Sindiket kemudiannya menggunakan talian WhatsApp untuk berhubung dengan pelanggan bagi mengatur pengiklanan dan pertemuan serta pembayaran sekiranya pelanggan bersetuju untuk mendapatkan khidmat seks,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, siasatan mendapati sindiket ini mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

“Semakan lanjut melibatkan akaun TikTok suspek mendapati sebanyak 226,000 pengikut yang aktif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 372(1)(e) dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN