Lelaki maut, lori kontena dipandu terbabas - Utusan Malaysia

Lelaki maut, lori kontena dipandu terbabas

KEADAAN kemalangan lori kontena yang terbabas di Kilometer 268.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan pada di antara Nilai ke Bandar Ainsdale, Seremban petang tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu lori kontena yang membawa muatan tiub tembaga penyaman udara maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 268.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan di antara Nilai ke Bandar Ainsdale di sini petang tadi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Bakarya Mohd. Salleh berkata, pihaknya terus ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 5.39 petang. 

Menurutnya, setiba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori kontena terbabas dan melanggar pembahagi jalan dan melintangi jalan raya. 

“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 32 tahun telah tersepit di bahagian pemandu dan dikeluarkan oleh pasukan keluaran operasi (PKO). 

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diserahkan ke pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Kemalangan tidak melibatkan kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Hatta Che Din berkata, lori kontena itu dalam perjalanan dari Bukit Raja, Selangor menuju ke Johor Bahru, Johor.

“Apabila tiba di lokasi kejadian dipercayai tayar hadapan sebelah kanan lori kontena terbabit pecah dan menyebabkan lori kontena tersebut hilang kawalan dan terbabas melanggar besi penghadang tengah jalan lalu terbalik.

“Akibat kemalangan, pemandu lori kontena mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat.

Ujar beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd. Zaman di talian 012-7173867 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, kemalangan telah menyebabkan kesesakan trafik sehingga 11 kilometer apabila lorong kiri, tengah dan lorong kanan arah selatan ditutup.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN