TAMPIN: Seorang lelaki berusia 23 tahun maut selepas kereta yang dipandunya merempuh sebuah lori muatan kelapa sawit dalam kejadian di Kilometer 32, Jalan Tampin-Gemas, di sini, petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu lori dalam perjalanan dari Ladang Regent, Gemencheh menuju ke Segamat untuk menghantar kelapa sawit.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah kereta datang dari arah bertentangan telah masuk ke laluan lori. Akibat daripada kemalangan ini, pemandu kereta telah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu lori mengalami kecederaan ringan sahaja. Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk pengendalian bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan.-UTUSAN.









