Lawatan PM China perkukuh hubungan

Lawatan PM China perkukuh hubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia mulai semalam hingga Rabu, isyarat keyakinan kuasa besar itu terhadap kestabilan politik dan pengiktirafan negara ini.

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kehadiran pemimpin China itu tepat pada masanya untuk membuka lembaran baharu hubungan dua hala antara negara di saat dunia berdepan suasana ketidaktentuan geopolitik dan isu antarabangsa.

Menurut beliau, kunjungan Li bukan sahaja memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan China, malah dapat dimanfaatkan demi keamanan rantau ini memandangkan Malaysia bakal menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.

“Misalnya, isu Myanmar yang tiada kesudahan, jadi Malaysia boleh menggunakan peluang hubungan bersama China untuk menyelesaikan konflik tersebut. Ini memperlihatkan bukan sahaja negara ini mendapat manfaat, tetapi ASEAN juga menerima tempias.

“Sebagai sebuah negara kecil, tentunya lawatan rasmi ini menunjukkan satu petanda positif buat Malaysia dan menggambarkan keyakinan China sebagai kuasa besar terhadap kemampuan kepimpinan tanah air ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Wisma Putra memaklumkan Li akan mengadakan lawatan pertama beliau sebagai Perdana Menteri China ke negara ini selama tiga hari bermula semalam bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Premier China, Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Semasa lawatan tersebut, Li akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepen­tingan bersama.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, Malaysia merupakan sebuah negara merdeka dan bebas menjalinkan hubungan dua hala dengan mana-mana negara termasuk China demi kebaikan tanah air.

Justeru katanya, negara lain tidak boleh ‘iri hati’ atau ‘cemburu’ dengan hubungan erat terjalin antara Malaysia dan China dengan melihatnya sebagai satu bentuk ancaman.

“Kita tidak pernah menganggu hubungan diplomatik mana-mana negara kerana menghormati prinsip kebebasan dan hak negara berdaulat. Begitu juga dengan pihak lain, usahlah cemburu dengan hubungan baik Malaysia dan China,” katanya.

Felo Kanan Akademi Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan pula berkata, Malaysia perlu memanfaatkan hubungan erat dengan meningkatkan kerjasama bersama negara itu khususnya dalam bidang teknologi.

Beliau berkata, kepimpinan Kerajaan Madani kini memberikan tumpuan penyelesaian masalah seharian menerusi penggunaan teknologi.

“Justeru, China dapat membantu dalam soal ini dan mereka dikatakan berminat untuk bersama Malaysia.

“China dapat memberi pertolongannya dengan harga kompetitif atau lebih murah berbanding negara Barat. Jadi, saya lihat signifikannya pada kita supaya mempunyai kefahaman komprehensif yang strategik antara Malaysia-China dalam hal ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×