SEOUL: Kerajaan Korea Selatan hari ini mengeluarkan arahan kembali bertugas kepada doktor di negara itu, selepas kebanyakan mereka termasuk profesor perubatan menyertai mogok selama berbulan-bulan bagi membantah pertambahan pengambilan pelajar perubatan.
Menteri Kesihatan, Cho Kyoo-hong berkata, kira-kira empat peratus daripada 36,000 klinik swasta memaklumkan kepada kerajaan mengenai rancangan penutupan hari ini, bagi mengambil bahagian dalam protes itu.
“Bagi meminimumkan jurang perubatan, perintah kembali bertugas akan dikeluarkan pada pukul 9 pagi hari ini,” katanya Cho dalam taklimat.
Kerajaan sebelum ini mengeluarkan arahan kembali bertugas kepada doktor pelatih yang mogok, sebelum ia ditarik balik pada awal Jun.
Di bawah undang-undang, doktor yang mengingkari arahan kembali bertugas boleh berdepan penggantungan lesen atau kesan perundangan lain.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol menyifatkan, mogok yang berlaku dalam kalangan doktor di negara itu sebagai suatu perkara yang disesali dan mengecewakan.
“Kerajaan tiada pilihan selain bertindak tegas terhadap perbuatan mengabaikan pesakit,” katanya pada mesyuarat Kabinet, sambil menawarkan untuk bekerjasama jika doktor mematuhi arahan.
Menurut tinjauan tempatan yang dijalankan minggu ini, hampir lapan daripada 10 rakyat Korea Selatan menentang mogok doktor.
Beberapa doktor dan kakitangan perubatan secara terbuka mengkritik tindakan kolektif itu, sebagai tindak balas kepada desakan kerajaan untuk meningkatkan kemasukan ke sekolah perubatan bagi menangani kekurangan doktor di negara itu.
Sebahagian mereka berpendapat bahawa penambahan jumlah doktor sahaja tidak boleh membantu menyokong perkhidmatan penting, termasuk kawasan luar bandar yang bergelut kekurangan kakitangan perubatan.- REUTERS










