Kesedar ramal KIP mampu bawa nilai pelaburan RM2 bilion

Kesedar ramal KIP mampu bawa nilai pelaburan RM2 bilion

ZAWAWI Othman (lima kiri) beramah mesra dengan pengamal media yang diraikan di pada Majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kesedar di Kota Bharu, kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) meramalkan Kesedar Industrial Park (KIP) yang bakal dibangunkan di Tanah Merah mampu membawa pelaburan berjumlah RM2 bilion ke negeri ini apabila ia beroperasi nanti.

Pengerusinya Datuk Zawawi Othman berkata, Tanah Merah menjadi pilihan berdasarkan kepada lokasi yang terletak di laluan perindustrian iaitu Mak Mandin (Pulau Pinang) dan Kulim Hi-Tech (kedah) melalui Lebuh Raya Timur Barat serta melingkar kawasan Gebeng, Pahang.

Menurutnya, KIP yang sudah mempunyai ‘blueprint’ telah dibentangkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Kemajuan Kesedar.

“Ianya sudah hampir memasuki langkah kedua pembinaannya. KIP ini melibatkan kawasan seluar kira-kira 130 hingga 150 hektar.

“Apabila siap, kita jangka KIP mampu membawa masuk nilai pelaburan RM2 bilion dan mampu mengembang lebih daripada itu. Ia akan menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu di Kelantan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kesedar di sini malam tadi.

Zawawi memberitahu, pihaknya berhasrat untuk melihat KIP berada sebaris dengan kawasan perindustrian lain seperti Mak Mandin, Kulim Hi-Tech dan Gebeng di Pahang.

Katanya, pembinaan KIP yang turut melingkari kawasan sempadan Malaysia-Thailand perlu melalui proses panjang kerana melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Ekonomi.

“Kalau boleh kita mahu mempercepatkan pembinaannya tetapi ia perlu melalui proses tertentu. Namun kita sudah buat langkah pertama dan akan memasuki langkah kedua.

“Peluang pekerjaan daripada KIP akan wujud secara berantai. Mungkin ia tidak kelihatan banyak di kawasan KIP sendiri tetapi rantaiannya akan terus bergerak serta mampu melepasi ribuan peluang pekerjaan,” ujarnya.

Zawawi berkata, pada masa sama Kesedar akan mengkaji serta menetapkan bidang industri utama di KIP namun pastinya ia merupakan bidang berimpak tinggi dan tidak berunsur pencemaran berikutan pihaknya tetap mahu menjaga kelestarian alam.

“Saya akan bincang perkara itu dengan Pengurus Besar Kesedar, W. Muhd. Rahimi Wan Salleh termasuk penetapan sasaran keuntungan dan pulangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Namun paling penting ketika ini adalah mewujudkan tapak KIP itu sendiri.

“Kita juga tidak akan meninggalkan etnik-etnik di Kelantan termasuk masyarakat Orang Asli. Cuma kita perlu memikirkan penempatan serta sektor penglibatan mereka dalam industri. Kita serah kepada pengurusan Kesedar untuk membuat kaian sumber manusia dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×