SEREMBAN: Projek jejambat yang menghubungkan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di Paroi dengan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Senawang masih dalam proses penilaian dan penstrukturan semula kos oleh Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, pada dasarnya projek bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di laluan masuk utama ke Senawang telah pun diluluskan.
“Ketika Datuk Seri Jalaluddin Alias menjadi Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebelum ini, telahpun memberitahu projek itu membabitkan kos awalan sebanyak RM950 juta.
“Ketika ini Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan sedang dalam proses menstruktur semula kos baharu untuk projek terbabit. Saban tahun berlaku kenaikan kos pembinaan, dan isunya kini adalah melibatkan kos,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Projek berkenaan merupakan inisiatif kerajaan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di laluan pintu masuk utama ke Senawang yang membelenggu pengguna jalan raya sejak sekian lama.
Sementara itu, dalam perkara berkaitan, Aminuddin berkata, projek jejambat dari Jalan Lingkaran Tengah (MRR) di persimpangan Seremban Gateway ke Bandar Ainsdale pula akan dibina dengan kos keseluruhan projek bernilai RM600 juta.
“Kementerian Kerja Raya telahpun meluluskan projek ini dan sekarang dalam proses reka bentuk jajaran.
“Apabila projek ini siap, ia akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut,” katanya lagi.-UTUSAN.









