TAMPIN: Buat pertama kalinya, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) telah dibuka di sebuah kem tentera di negara ini iaitu di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, di sini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr. Roslan Hussin berkata, pembukaan kelas PKKI di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Syed Sirajuddin itu merupakan usaha pihak jabatan selepas mendengar keluhan ibu bapa yang terdiri daripada anggota tentera di kem berkenaan.
Menurutnya, keperluan kelas PPKI itu dikenal pasti ketika melakukan lawatan kerja sesi persekolahan pada Mac lalu apabila ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas terpaksa menghantar anak keluar dari kem untuk ke kelas PPKI berhampiran.
“Sekolah yang mempunyai kelas PKKI pula terletak di pekan Gemas, kira-kira lima kilometer dari kem berkenaan. Kami mendengar masalah daripada anggota tentera itu sebelum mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan.
“Kelas PPKI ini sudah memulakan kelas pertamanya pada 3 Jun lalu dengan bimbingan dua guru serta seorang pembantu murid,” katanya selepas merasmikan pembukaan kelas itu di SK Kem Syed Sirajuddin, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Panglima 1 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Mohamad Noorlizam Shamsuddin.
Mengulas lanjut Roslan menjangkakan jumlah kemasukan murid ke kelas PKKI akan meningkat dan berkemungkinan ada penambahan kelas.
“Kami berharap pembukaan kelas PKKI ini membolehkan anak istimewa mendapat pendidikan lebih sempurna dan sewajarnya dan tiada lagi murid tercicir dalam pendidikan,” katanya lagi.
Sementara itu, Briged Pertama Infantri Malaysia dalam satu perkongsian di media sosial memaklumkan, objektif PPKI itu adalah untuk menyediakan kemudahan khas untuk murid-murid dengan keperluan khas dalam mengembangkan bakat dan potensi pelajar, khasnya kepada anak tentera dan masyarakat setempat.-UTUSAN.









