Kejadian terlalu cepat, tak sempat selamatkan barang, wang - Utusan Malaysia

Kejadian terlalu cepat, tak sempat selamatkan barang, wang

SITI MUAFIKOH Samri mendodoikan anak bongsunya di PPS Dewan Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kebakaran yang memusnahkan enam buah rumah setinggan di Kampung Melayu Pandan, di sini dipercayai akibat litar pintas berlaku sekelip mata sehingga mengakibatkan 11 mangsa daripada tujuh keluarga tidak sempat menyelamatkan barang berharga.

Seorang mangsa, Siti Muafikoh Samri, 46, mengakui hanya memikirkan keselamatan anak-anak dan dirinya sehingga tidak sempat menyelamatkan wang tunai RM3,000 hasil titik peluh simpanan yang disorokkan di bawah permaidani.

Ketika kejadian dia masih tidur bersama-sama seorang anaknya berusia lapan tahun di dalam bilik, manakala anak bongsunya yang berusia empat tahun sedang mandi.

“Saya terkejut apabila mendengar jiran menjerit-jerit memberitahu rumah dijilat api sambil mengetuk pintu rumah. Saya tidak berfikir panjang terus membawa anak-anak keluar rumah. Apabila hendak menyelamatkan barang berharga suami termasuk wang tunai RM3,000 hasil titik peluh simpanan kami, api sudah marak. Saya hanya mampu melihat rumah itu hangus dijilat api,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Melayu Pandan, di sini hari ini.

Siti Muafikoh masih tidur ketika kejadian  kerana pulang lewat pagi usai bekerja sebagai tukang masak di kedai makan di Pasar Borong Pandan, manakala suaminya, Khairi Wagi, 55, telah keluar bekerja sebagai buruh di Pelangi Indah, di sini.

“Suami hanya mengetahui mengenai kebakaran itu pada pukul 2 petang, dia bertanyakan wang tunai RM3,000 itu serta jam tangan yang baru dibelinya. Saya  cuma berkata kejadian berlaku terlalu pantas dan tak mampu berbuat apa-apa,” katanya yang sudah 10 tahun menetap di situ.

Seorang lagi mangsa yang hajya mahu dikenali sebagai Hayati, 67,  bersedia untuk dihantar pulang oleh pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia setelah permitnya tamat tempoh.

“Saya sudah berada di  Malaysia sejak 1995 dan arwah suami saya yang mendapat pemastautin tetap (PR) telah lama meninggal dunia. Walaupun saya ada keluarga dan kenalan di sini, namun permit saya sudah tamat tempoh, sekiranya dihantar pulang ke Indonesia, saya bersedia,” katanya.

Sementara itu, Staf Fungsi Konsuler dari Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru, Fransisca Suryaningsih berkata, pihaknya akan mengambil maklumat semua mangsa terlibat untuk tindakan susulan.

“Terdapat mangsa yang memegang status PR, mempunyai permit dan ada juga sebahagian tidak mempunyai permit. Bagi yang tidak mempunyai permit, dokumen perjalanan, kita akan menguruskan urusan untuk menghantar mereka pulang. Bagi mangsa yang berstatus PR dan mempunyai permit, mereka akan menumpang di rumah saudara atau tetangga lain yang berada di sekitar daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail yang melawat PPS  berkenaan memaklumkan, semua mangsa adalah warganegara Indonesia.

“Sebagai kerajaan negeri yang prihatin, kita turut menghulurkan bantuan kemanusiaan termasuk keperluan asas, makanan dan air. Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya juga telah menyerahkan pakaian terpakai kepada mangsa yang tinggal sehelai sepinggang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN