Kapal berlanggar di Singapura, Perairan Pengerang tercemar tumpahan minyak - Utusan Malaysia

Kapal berlanggar di Singapura, Perairan Pengerang tercemar tumpahan minyak

KAWASAN pantai di perairan Pengerang yang tercemar akibat tumpahan minyak susulan perlanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini akan meneruskan pemantauan di sepanjang perairan Pengerang dari semasa ke semasa susulan insiden tumpahan minyak di laut akibat perlanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura, kelmarin. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihak JAS telah memohon bantuan daripada pelbagai agensi bagi melakukan rondaan untuk mendapatkan perkembangan terkini di kawasan terlibat. 

Katanya, pelan tindakan  juga akan diaktifkan bagi menjalankan operasi kerja-kerja pembersihan di pantai sekiranya diperlukan. 

“Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor telah menerima pemakluman daripada National Environment Agency (NEA), Singapura tentang kes pelanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura sehingga menyebabkan tumpahan minyak di laut pada pukul 8.30 pagi, 18 Jun lalu.

“Kuantiti tumpahan minyak adalah dalam anggaran 400 tan. Susulan pemakluman kejadian tumpahan minyak tersebut, JAS Johor telah memohon bantuan daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS), Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam (APAM), Dialog Terminals Pengerang Sdn. Bhd., serta Petronas Pengerang untuk membantu bagi aktiviti rondaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tian Soon berkata, pihak JAS juga menerima makluman terdapat pencemaran minyak di pantai Sungai Rengit, Pengerang sejak pagi semalam.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, satu mesyuarat khas akan dipengerusikan Pegawai Daerah Kota Tinggi bagi mencapai ketetapan tertentu serta langkah-langkah intervensi yang perlu dilakukan bagi mengelakkan situasi lebih buruk susulan kejadian itu.

Pihaknya telah melakukan tinjauan di kawasan yang tercemar akibat tumpahan minyak itu yang dijangka merebak sehingga ke pantai Teluk Ramunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN