GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus Sungai Nenggiri semasa sedang mandi bersama ahli keluarganya di Kampung Setawar, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, mangsa itu dikenali sebagai Syamely Nur Aleh Qarni Sham, 7,
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) RPS Kuala Betis, Sudin Rigen berkata, mangsa bersama ahli keluarganya balik ke Kampung Setawar untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha.
Menurutnya, mangsa dipercayai lemas selepas mandi di sungai yang terletak di belakang rumahnya.
“Ahli keluarga telah memohon bantuan anggota keselamatan seperti polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mencari mangsa.
“Operasi mencari dan menyelamat telah dilakukan oleh anggota keselamatan, namun sehingga malam ini mangsa masih gagal dijumpai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.25 petang.
Katanya, seramai 11 anggota telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat di persisiran sungai dan ‘Surface Searching’.
“Pihak bomba turut memohon bantuan unit anjing pengesan (K9) untuk membantu operasi.
“Bagaimanapun operasi terpaksa ditangguhkan pada pukul 7.38 malam atas faktor cuaca gelap dan arus deras,” katanya-UTUSAN









