Judi dalam talian, penduduk buat laporan polis

Judi dalam talian, penduduk buat laporan polis

SEBAHAGIAN penduduk membuat laporan polis berkait judi dalam talian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sekumpulan penduduk membuat laporan polis selepas mendakwa terdapat lebih 40 premis aksesori telefon di negeri ini turut menjual tambah nilai judi dalam talian sejak enam tahun lalu.

Laporan itu dibuat oleh mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini petang semalam.

Wakil penduduk, Noor Hafsham Noor Halim, 36, berkata, dia yang mewakili 50 penduduk di tiga buah daerah berharap agar kegiatan judi dalam talian itu dibanteras habis-habisan oleh pihak berkuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, selain Kota Bharu, premis menjual aksesori telefon di Tanah Merah dan Pasir Mas juga didapayi terlibat dengan kegiatan menjual tambah nilai judi dalam talian.

“Selain menjual kad tambah nilai prabayar syarikat telekomunikasi (telco), mereka turut menggunakan premis itu untuk menjual kad tambah nilai judi.

“Hasil pemantauan penduduk, banyak premis-premis di tiga daerah itu terlibat dalam menjual nombor untuk judi dalam talian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa semalam.

Noor Hafsham memberitahu, penduduk sebelum ini sudah memaklum berhubung kegiatan tersebut kepada pihak berkuasa, namun masih tiada sebarang tindakan terhadap mereka.

Menurutnya, kegiatan judi dalam talian itu perlu dibanteras kerana ia melibatkan ramai golongan anak muda.

“Berdasarkan maklumat, ada yang sanggup mencuri untuk bermain judi secara dalam talian. Jadi, kita mohon pihak berkuasa banteras habis-habisan kegiatan itu bagi mengelakkan ia terus menjadi barah dalam masyarakat,” ujarnya.

Seorang peniaga yang dikenali Azmi, 49, mendakwa, terdapat lebih lima premis yang terlibat dalam kegiatan judi dalam talian di sekitar Pengkalan Chepa,

Katanya, difahamkan, premis terbabit dipantau oleh kumpulan-kumpulan tertentu bagi mengelak perniagaan mereka diganggu oleh pihak berkuasa.

“Premis yang menjalankan kegiatan judi dalam talian ini berlindung dengan perniagaan menjual kad tambah nilai telco.

“Kegiatan itu sudah lama beroperasi, tetapi tiada orang yang berani kerana premis mereka dikawal oleh kumpulan samseng,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes itu dan membuat risikan dan siasatan lanjut berkaitan dakwaan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×