PETALING JAYA: Peguam yang mewakili ibu bapa kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matiiin, Fahmi Abd. Moin mengesahkan anak kedua pasangan itu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor sehingga esok.
Beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, JKM telah hadir untuk mengambil adik kepada Zayn Rayyan iaitu Zahin Mateen, 5, mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.
Kata beliau, kanak-kanak itu akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok bagi permohonan jagaan sementara.
“Ya saya sahkan, sebentar tadi pihak JKM telah hadir untuk mengambil Zahin Mateen sehingga esok sebelum dibawa ke mahkamah bagi permohonan jagaan sementara.
“Ini kerana ada peruntukan di bawah akta berkenaan memberikan kuasa kepada pegawai JKM untuk melindungi mana-mana kanak-kanak yang penjaganya dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya di sini.
Terdahulu, ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu, tahun lalu.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. – UTUSAN










