SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mewujudkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi menangani isu ancaman pencemaran terhadap Sungai Linggi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jawatankuasa tersebut akan diwujudkan dalam masa terdekat yang turut melibatkan wakil rakyat di kawasan sepanjang jajaran sungai itu.
Kata beliau, menerusi jawatankuasa tersebut satu tindakan bersama dapat diambil bagi mengelakkan kejadian pencemaran sungai tersebut berulang pada masa hadapan.
“Jawatankuasa itu memang perlu supaya ia dapat dibantu oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada dalam jajaran sungai itu, mereka juga boleh berikan maklumat.
“Saya telah berjumpa dengan beberapa ketua-ketua jabatan dan dimaklumkan tindakan-tindakan susulan sedang diambil oleh mereka untuk memastikan perkara itu (pencemaran) tidak berulang di sepanjang jajaran sungai itu.
“Hasil maklum balas, wakil rakyat ini bersetuju supaya tindakan tegas diambil terhadap pemilik-pemilik kilang haram,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang lalu, ADUN Lukut, Choo Ken Hwa mencadangkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi menangani isu pencemaran Sungai Linggi yang berulang kali berlaku sehingga menjejaskan bekalan air kepada penduduk khususnya di Port Dickson.
Menurutnya, tanpa perlindungan yang baik terhadap sungai itu yang menjadi sumber air mentah ia pasti akan memberi kesan buruk kepada kehidupan penduduk.
Baru-baru ini, beberapa operasi dan serbuan dilakukan oleh beberapa agensi dan jabatan di negeri ini terhadap kilang-kilang haram yang didapati menjalankan aktiviti mencemarkan alam sekitar termasuk memberi risiko kepada pencemaran Sungai Linggi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, menjelang akhir bulan ini, kerajaan negeri mampu mencapai sasaran sifar miskin tegar bagi tahun ini.
“Insya-Allah dalam bulan Jun ini kita mampu mengeluarkan baki 77 ketua isi rumah di negeri ini daripada kategori miskin tegar. Bagi tahun ini kita ada 1,697 ketua isi rumah berstatus miskin tegar.
“Tahun lepas ketua isi rumah telah ada (dikeluarkan) namun tahun ini mereka tersenarai semula sebagai miskin tegar, baki 77 ketua isi rumah ini masih lagi dalam senarai kerana menerusi program dan bantuan belum mencukupi untuk mereka keluar dari senarai itu,” katanya.
Menteri Besar menjelaskan, usaha untuk mensifarkan miskin tegar tersebut termasuklah menerusi program-program meningkatkan pendapatan ketua isi rumah menerusi program dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri selain bantuan yang diberikan oleh agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.-UTUSAN.










