PONTIAN: Suasana pilu menyelubungi Jeti Nelayan Sungai Benut apabila mayat lelaki yang lemas terjatuh ke dalam sungai tersebut ditemukan pagi ini.
Mayat Samsudin Bachok, 52, ditemukan pukul 10.30 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian mangsa dikatakan terjatuh petang kelmarin.
Isteri Allahyarham, Junayati Kechant, 48, tiba-tiba pengsan ketika mayat suaminya dibawa ke darat bagi urusan pengecaman sebelum dihantar ke Hospital Pontian untuk proses bedah siasat.
Anak kedua mangsa, Muhammad Nur Iskandar, 24, mewakili ibunya membuat pengecaman mayat ke atas mayat bapanya.
Terdahulu, ketika ditemui Utusan Malaysia, Junayati tetap menaruh harapan supaya suaminya ditemukan selamat memandangkan sebagai nelayan dia mengetahui selok-belok sungai tersebut.
Kehilangan suaminya pada petang kelmarin hanya disedari apabila tidak pulang ke rumahnya di Taman Dato’ Hajjah Fatimah Salim seperti biasa pukul 6 petang sejak keluar pada 4 petang.
“Dia hanya memberitahu kepada anak bongsu Nur Syazwan nak keluar sekejap tetapi hingga pukul 6 petang tidak pulang lagi ke rumah,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Tambak, di sini.
Sementara anak kedua mangsa, Muhammad Nur Iskandar, 24, berkata, pada pagi sebelum kejadian, ayahnya ada memberitahu jiwanya seolah-olah kosong, tetapi tidak menyatakan selanjutnya.
Dia tidak mengetahui mengapa ayahnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) meluahkan kata-kata tersebut. – UTUSAN









