GUA MUSANG: Ibu kepada kanak-kanak Orang Asli hanya sempat mandi sungai kira-kira 10 minit bersama anak perempuannya sebelum mangsa hanyut dibawa arus Sungai Brooke, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, semalam.
Noremely Angah, 35, yang tinggal di Damansara Perdana, Selangor berkata, anaknya, Syamely Nur Aleh Qarni Sham, 7, dan tiga lagi anak saudara sangat teruja untuk mandi sungai sebaik sahaja mereka tiba di kampung halamannya di Kampung Setawar di sini.
Menurutnya, dia bersama mangsa yang merupakan anak kedua dan tiga lagi anak saudaranya pergi ke sungai yang terletak di belakang rumah.
“Ketika kami berlima sedang mandi, anak saudara saya, Rosecida Sani, 18, tiba-tiba dihanyutkan arus deras dan hampir lemas. Apabila melihat Rosecida hampir lemas, saya terus berenang menyelamatkannya kerana dia tidak pandai berenang.
“Saya meninggalkan Syamely Nur Aleh seorang diri di tepi sungai, namun dia pula tiba-tiba sudah tiada di tepi sungai,” katanya.
Noremely memberitahu, kejadian berlaku sangat pantas dan hanya seorang anak saudara lelakinya sempat melihat Syamely Nur Aleh hanyut dibawa arus.
Katanya, dia juga tidak mendengar bunyi jeritan meminta pertolongan daripada anak kedua daripada tiga beradik itu.
“Selepas menyedari dia hilang dibawa arus, saya terus memanggil suami dan seterusnya meminta bantuan anggota keselamatan.
“Syamely Nur Aleh kelihatan sangat ceria kerana dapat mandi sungai. Dia sangat rapat dengan adik bongsunya, Daniel Shafwan Syam yang berusia lima tahun. Selepas kejadian itu, adiknya sering bertanya kakaknya berada di mana. Rakan-rakan juga ada yang membuat solat hajat semoga anak cepat ditemui,” ujarnya.
Utusan Online semalam melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus Sungai Nenggiri semasa sedang mandi bersama ahli keluarganya di Kampung Setawar, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini semalam-UTUSAN.









