Ibu bapa Zayn Rayyan tertekan – Peguam

Ibu bapa Zayn Rayyan tertekan – Peguam

PEGUAM mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, Mahmud Abdul Jumaat memaklumkan , kedua-dua anak guamnya memberikan kerjasama yang baik kepada polis sepanjang ditahan reman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin tertekan dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Bagaimanapun, peguam mewakili suami isteri berusia 28 tahun itu, Mahmud Abdul Jumaat berkata, kedua-duanya memberikan kerjasama yang baik kepada polis sepanjang ditahan reman.

“Mereka masih direman di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sejak Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Polis menemukan bukti baharu dalam siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan, 6, pada Disember tahun lalu sebelum membawa kepada penahanan ibu bapa kanak-kanak autisme itu pada Jumaat.

Penahanan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam pada pukul 10.25 pagi dan perintah reman diperoleh kelmarin.

Ibu bapa kepada kanak-kanak itu kemudian direman seminggu sehingga 7 Jun ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, di Setiu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung penahanan ibu bapa kanak-kanak autisme tersebut.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan secara menyeluruh.

“Tempoh reman tujuh hari masih berjalan, jadi bagi ruang pihak polis menyiasat terlebih dahulu. Setakat ini tangkapan hanya dua orang iaitu ibu dan bapa mangsa, tiada tangkapan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberitahu, polis me­rampas telefon bimbit milik ibu dan bapa Zayn Rayyan bagi siasatan lanjut.

Menurutnya, rampasan dilakukan adalah prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam siasatan.

“Rampasan itu untuk bantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×