MELAKA: “Genap dua bulan pemergian ayah iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu, kini kami kehilangan pula adik bongsu yang disayangi dalam sekelip mata.”
Demikian luah Anisah Mad Idris, 31, kakak kepada pemandu kedua bas persiaran, Hadi Asyraf Mad Idris, 29, yang terkorban dalam kemalangan dengan sebuah treler di Simpang Tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang, Ahad lalu.
Kata Anisah, rasa sedih kehilangan bapa pada 9 April lalu belum reda dan dikejutkan pula dengan berita kematian adik bongsu daripada 12 beradik itu.
“Arwah sangat rapat dengan saya. Boleh dikatakan setiap hari dia ke rumah saya dan bermain dengan tiga anak saudaranya.
“Tetapi peliknya sehari sebelum kejadian, arwah tidak datang ke rumah dan saya pula tidak fikir apa-apa. Kira-kira pukul 5 pagi, saya dapat panggilan daripada kakak ipar yang memberitahu Hadi Asyraf sudah tiada.
“Saya macam tidak percaya dan terus menghubungi telefon bimbitnya dan dijawab seorang wanita. Dia memberitahu adik saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Padang Temu di sini.
Tambah Anisah, jenazah Hadi Asyraf dikebumikan di sebelah kubur bapanya di Tanah Perkuburan Islam Padang Temu pada pukul 10 malam, Ahad lalu.
“Allahyarham pernah bercerita dengan saya yang dia berjumpa dengan arwah emak dalam mimpi sebanyak tiga kali. Cuma saya tidak fikir apa-apa dan anggap ia hanya mimpi semata-mata,” ujarnya. – UTUSAN










