‘Harap pelaku terima hukuman setimpal’

‘Harap pelaku terima hukuman setimpal’

CHE Zaiton Abd. Aziz menunjukkan gambarnya ketika menziarahi pusara Zayn Rayyan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu mentua kepada pengasuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, meluahkan rasa terkejut berhubung penahanan reman ibu bapa kanak-kanak malang itu.

Che Zaiton Abd. Aziz, 55, berkata, dia berharap sesiapa sahaja pelaku sebenar yang terlibat dalam kematian kanak-kanak itu dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya yakin semua pihak terkejut termasuk saya. Namun, kalau itu keperluan polis untuk menjalankan siasatan, kita serahkan sahaja kepada mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai keluarga penga­suh yang pernah menjaga Zayn Rayyan, saya harap kes ini dapat diselesaikan sebaiknya dan pelaku sebenar menerima hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, semalam.

Dia memaklumkan menantunya yang merupakan penga­suh Zayn Rayyan, Auni Afiqah Abas kebetulan tiada di rumah semalam kerana menghadiri majlis kenduri kahwin seorang rakan.

Mengulas lanjut, katanya, kejadian yang menimpa kanak-kanak malang ini amat memberi kesan kepadanya sekeluarga.

Kata Che Zaiton, ini kerana dia turut menjaga kanak-kanak itu apabila menantunya mempunyai urusan di luar.

“Apabila kes ini selesai, saya yakin banyak pihak akan berasa lega. Kejadian ini jelas memberi kesan kepada banyak pihak, bukan sahaja penduduk di sini, malah diri dan keluarga saya sendiri kerana kami pernah menjaga Zayn Rayyan,” jelasnya.

Dia turut melahirkan rasa sedih setiap kali mengingati kanak-kanak malang itu.

“Bila bercakap mengenai Zayn Rayyan, pasti saya sedih. Memang rindu. Kadangkala saya buka gambar-gambarnya dalam telefon bimbit.

“Namun, semua pihak perlu reda termasuk saya sendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×