KLUANG: Hajat empat sekawan untuk ‘mengeteh’ di bandar Kluang tidak kesampaian selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 24 Jalan Renggam-Simpang Renggam kelmarin.
Ahmad Shahfarin Sulaiman, 54, berkata, anaknya Mohd Adib, 21, pada mulanya hanya berkumpul bersama tiga rakan sebayanya iaitu Muhammad Ziyad Azmi, Ahmad Manan Zaini dan Nor Aminul
Fitri Nor Azmi di Simpang Renggam kerana sudah lama tidak berjumpa akibat kekangan tugas masing-masing.
Katanya, Mohd Adib yang juga anak sulung daripada adalah penuntut sebuah kolej manakala tiga rakannya operator Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), bengkel kereta dan pekerja di sebuah pasar raya.
“Pada pukul 11.30 malam, dia ada maklumkan mahu pergi ke Kluang untuk berjalan-jalan dan ‘mengeteh’ dengan menaiki kereta yang di pandu Mohd Adib.
“Kira-kira pukul 12 malam, saya menerima panggilan yang Along terlibat dalam kemalangan dan seperti tidak percaya kerana saya baru sahaja bercakap dengan dia melalui telefon,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Berumbung di Simpang Renggam semalam.
Menurut Ahmad Shahfarin, pengebumian anak serta tiga rakannya disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Berumbung di Simpang Renggam selepas solat Jumaat semalam.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, kereta Proton Wira dipandu Mohd Adib dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang tiang elektrik.
Tiga maut ditempat kejadian kerana kecederaan parah manakala seorang lagi maut di hospital.
“Siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa dalam perjalanan dari Simpang Renggam ke Renggam sebelum kemalangan itu.
“Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.











