KLUANG: Dua ekor gajah ‘mengamuk’ di Kampung Melayu Nyior, di sini dengan merosakkan lebih 12 pokok kelapa sawit dan 10 pokok pisang yang ditanam penduduk.
Dalam kejadian kelmarin itu, seolah-olah dua ekor gajah tersebut seperti ‘membalas dendam’ ke atas kematian empat ekor gajah di Kampung Sri Timur pada Sabtu lalu walaupun jarak antara kedua-dua lokasi kira-kira 25 kilometer.
Ketua Kampung Melayu Nyior, Mohd. Isa Mohd. Yunos berkata, kejadian berlaku hanya kira-kira 150 meter dari kawasan perkampungan dan kehadiran dua gajah dewasa berkenaan sempat dirakam oleh penduduk.
Katanya, kehadiran gajah itu adalah kali kedua berlaku di kampung tersebut dan menimbulkan kebimbangan penduduk terhadap keselamatan mereka.
“Ada yang sempat mengambil video kehadiran gajah dari jarak jauh. Selepas gajah beredar, pemeriksaan penduduk kampung mendapati tanaman dirosakkan. Gajah yang menceroboh dan merosakkan tanaman kelapa sawit itu dekat sangat dengan rumah penduduk, iaitu hanya terletak 150 meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ditanya sama ada gajah berkenaan mempunyai kaitan atau merupakan kumpulan sama dengan empat ekor gajah yang mati dipercayai termakan racun di Kampung Sri Timur pada Sabtu lalu, beliau berpendapat, gajah tersebut adalah daripada kumpulan lain.
“Kalau gajah dari Kahang nak masuk kawasan Kampung Niyor akan jumpa sempadan yang mempunyai landasan kereta api berpagar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Amin berkata, pihaknya sudah memaklumkan pemilik kebun terbabit dan memberikan khidmat nasihat supaya tindakan mitigasi dilaksanakan.
“Ini melibatkan pemasangan pagar elektrik, membuat parit gajah dan mewujudkan pasukan rondaan. Pihak Perhilitan juga akan menjalankan rondaan pemantauan dan tembak halau dari semasa ke semasa,” katanya.
Video dua gajah berkenaan yang merosakkan pokok kelapa sawit turut tular dan dikatakan kononnya ‘merajuk’ dan kini berhijrah ke Kampung Niyor selepas empat ekor gajah ditemukan mati di Kampung Sri Timur. – UTUSAN









