Fenomena cuaca ekstrem cetus kemarau, banjir di China

Fenomena cuaca ekstrem cetus kemarau, banjir di China

KIRA-kira 1.3 juta hektar tanah ladang di China terjejas akibat faktor kemarau.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sebahagian kawasan di China berdepan kesan cuaca ekstrem menyebabkan keadaan banjir teruk di bahagian selatan dan kemarau di utara yang menjejaskan sektor pertanian.

Wilayah tengah Henan, termasuk Shandong di timur mengalami taburan hujan sedikit sejak April berserta suhu tinggi, menyebabkan kawasan itu kekurangan air yang menjejaskan pertanian serta kegunaan isi rumah.

Jabatan meteorologi tempatan meramalkan tiada hujan yang signifikan berlaku sekurang-kurangnya sehingga Jumaat, menjejaskan lagi hasil pertanian.

Henan merupakan kawasan pengeluaran bijirin utama di China. Faktor kemarau menjejaskan kira-kira 1.3 juta hektar tanah ladang, yang menyumbang 3.5 peratus tanaman di kawasan itu.

Sekurang-kurangnya 14 bandar di Henan mengaktifkan pelan tindakan kemarau, dengan membuka laluan pengairan untuk melindungi tanaman, manakala bandar Zhumadian menggesa penduduk menjimatkan penggunaan air.

Berbeza di bahagian selatan, keadaan hujan lebat menyebabkan beberapa siri banjir di lebih tiga wilayah, termasuk Guangxi, Guizhou, Yunnan dan Guangdong.

Wilayah Guangdong merekodkan banjir teruk tahun ini, dengan Sungai Bei mencatatkan paras tertinggi pada April, yang menjejaskan sekurang-kurangnya 110,000 penduduk.

Sungai Xi di wilayah Guangxi melaporkan banjir besar pertamanya tahun ini pada Sabtu, mendorong pihak berkuasa menyediakan takungan di hulu untuk menyekat banjir.

Jabatan hidrologi tempatan memberi amaran paras air di bahagian bawah dan tengah sungai mungkin meningkat antara dua hingga lima meter untuk beberapa hari akan datang.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN