KOTA BHARU: Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) menggantung serta-merta tugas pemandunya yang dikesan memandu bas dalam keadaan melulu dan membahayakan penumpang sehingga sebagaimana tular di laman sosial semalam.
Pengerusinya Che Ibrahim Che Ismail berkata, tindakan tegas itu bagi membolehkan siasatan dalaman berkait dengan kejadian tersebut dapat dilakukan dengan sebaik mungkin.
Menurutnya, pada masa sama pemandu berkenaan turut dipanggil untuk memberikan keterangan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja membahayakan penumpang malah memberikan kesan tidak baik kepada syarikat.
“Kami (E-Mutiara) mengambil serius perkara tersebut dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan individu yang melakukan kesalahan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Che Ibrahim memberitahu, sebelum ini pihaknya sudah mengambil tindakan keatas pemandu yang dikesan melakukan kesalahan sehingga boleh membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Katanya, selain pemandu, syarikat juga boleh berdepan dengan tindakan daripada pihak berkuasa disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab itu.
“E-Mutiara sentiasa menitik beratkan soal keselamatan pengguna sepanjang menggunakan perkhidmatan bas dibawah kendalian syarikat berkenaan,” ujarnya.
Semalam tular video memaparkan tindakan seorang pemandu bas ekspres yang memandu secara berbahaya ketika cuba memotong sebuah treler di laluan berselekoh serta bergarisan putih berkembar.
Menerusi satu video berdurasi 40 saat yang tular di media sosial menunjukkan bas berkenaan nyaris dengan sebuah kenderaan dari arah depan.-UTUSAN










