KOTA BHARU: Seorang bekas guru berputih mata apabila tidak sempat menyelamatkan wang tunai RM20,000 yang bakal digunakan untuk majlis perkahwinan anaknya pada September ini selepas tiga buah rumah di Kampung Lundang, di sini terbakar, pagi semalam.
Mohd. Razali Yusoff, 67, berkata, kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu turut memusnahkan wang disimpannya berjumlah RM12,000 dan barang kemas milik isteri bernilai lebih RM50,000.
Dalam kejadian itu, dia bergegas mengejutkan isteri, Masheran Ariffin, 57, selepas menyedari berlaku litar pintas mengakibatkan tercetusnya kebakaran sebelum terus mendukung cucunya berusia sembilan tahun keluar dari rumah.
“Saya menyedari rumah terbakar apabila terasa bahang panas dari bilik sebelah selain terdengar beberapa letupan kecil.
“Saya menjenguk keluar bilik dan melihat api marak membakar keseluruhan rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Mohd. Razali memberitahu, kejadian itu turut menyebabkan kereta jenis Proton Preve dan Proton Persona dan sebuah motosikal Yamaha Y15 musnah.
Seorang lagi mangsa, Nik Asiah Tuan Kadir, 62, berkata, dia bernasib baik selepas terjaga daripada tidur apabila terdengar jeritan anak saudara, Shahrulnizam Abdullah, 31, yang melihat api.
Menurutnya, dia lantas mengejutkan suami, Mohd. Johan Senik, 65, yang menghidap lumpuh seluruh badan lalu memapahnya keluar dari rumah.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Ramli Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.15 pagi sebelum anggotanya bergegas ke lokasi untuk memadam kebakaran tiga buah rumah,
Ujarnya, seorang wanita berusia 36 tahun dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II akibat terkena renjatan elektrik. – UTUSAN










