Dua suri rumah layak mohon faedah Perkeso - Utusan Malaysia

Dua suri rumah layak mohon faedah Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua suri rumah yang menghidapi Penyakit Non Communicable Disease iaitu penyakit kencing manis dan darah tinggi yang didedahkan siaran akhbar Utusan Malaysia Isnin lalu, layak memohon faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut Perkeso, hasil semakan Perkeso Batu Pahat mendapati, kedua-dua suri rumah masing-masing Raonah Buang dan Rozzila Onan merupakan pencarum Perkeso dengan caruman terakhir mereka berdua adalah pada tahun 1994 dan 2017.

”Menerusi kunjungan pertama ke rumah Raonah Buang,53, di Parit Sulong mengesahkan bahawa beliau menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak tahun 2010 dan masih mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Parit Sulong.

”Pada 29 April 2022, beliau telah mengalami strok hingga mengakibatkan kelemahan anggota badan sebelah kanan, sekali gus memerlukan beliau menggunakan tongkat untuk berjalan selain perlu memakai lampin pakai buang serta kerusi roda untuk pergerakan ke hospital atau klinik.

”Berdasarkan rekod caruman Perkeso, Raonah Memiliki rekod caruman sehingga Mac 1994 dan beliau layak memohon faedah Perkeso bawah Skim Keilatan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, kunjungan Perkeso ke rumah Rozzila Onan, 45, pula mendapati beliau telah disahkan menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak tahun 2016.

Selain itu, katanya, jari keempat dan kelima kaki kiri beliau terpaksa dipotong pada 2022 akibat jangkitan kuman penyakit kencing manis serta mengalami masalah saraf dimana sendi pergelangan kaki kanan yang telah disahkan oleh doktor Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.

”Perkeso telah mengesyorkan Rozilla menjalani pembedahan implan namun beliau enggan berikutan risiko komplikasi jangkitan kuman akibat penyakit kencing manis dan kini Rozzila tidak berupaya untuk berjalan serta hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda.

”Menerusi penelitian pihak Perkeso, rekod caruman terakhir Rozzila adalah pada Ogos 2017 dan beliau juga layak memohon bawah Skim Keilatan bagi penyakit yang beliau hadapi.

”Perkeso juga turut bersedia membekalkan beliau dengan peralatan pemulihan seperti lampin pakai buangdan kerusi roda,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Perkeso siaga dalam membantu kedua-dua suri rumah itu mendapat bantuan sewajarnya.

Malah, katanya, pihaknya turut akan sentiasa memperluaskan tahap kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan mencarum dengan Perkeso dan faedah yang layak dimohon sekiranya berlaku musibah ke atas diri pencarum.

“Selaras dengan prinsip ‘Prihatin’ dan ‘leaves no one behind’, Perkeso beriltizam untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada menerima bantuan Perkeso,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×