HULU TERENGGANU: Dua beradik autisme kreatif menghasilkan seni bina replika pelbagai objek dengan menggunakan barangan terpakai.
Muhammad Naufal Mohamad Norhadi, 14, dan adiknya, Ammar Amsyar, 10, dari Taman Kasturi Indah, Gong Badak dekat sini menjadikan bilik di rumah mereka sebagai ‘bengkel’ untuk berkreativiti selepas pulang dari sekolah.
Menurut ibu mereka, Alisa Aslina Ismail, 40, walaupun minat anak pertama dan keduanya itu sama terhadap reka cipta, namun mereka mempunyai kecenderungan perilaku yang berbeza.
“Anak sulung saya dikesan autisme ketika berusia empat tahun, manakala adiknya sewaktu berumur tujuh tahun. Berbanding kanak-kanak lain, mereka langsung tidak berminat dengan alat permainan di pasaran.
“Kedua-duanya sewaktu kecil cenderung menconteng dinding dan lantai selain begitu obses dengan sesuatu, sehinggalah suatu hari saya perasan anak-anak saya ini mempunyai kelebihan tersendiri walaupun mereka autisme.
“Barangan terpakai seperti kotak, botol serta bekas tisu gulung dilihat dari perspektif berbeza oleh Ammar Amsyar dengan hasilkan pelbagai objek seperti robot, kapal terbang, roket dan kapal. Minatnya cenderung ke arah seni bina.
“Dia yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail punyai obses yang bermusim dan akan habiskan masa berbulan-bulan untuk hasilkan objek itu sahaja,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Basung, dekat sini.
Tambah ibu tiga anak ini, Muhammad Naufal yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Mengabang Telipot lebih terarah pada seni dan reka bentuk dengan hasilkan replika rumah serta bangunan.
Katanya lagi, anaknya itu sanggup kumpul duit belanja sekolah untuk membeli barang-barang untuk berkreativiti dan seiring peningkatan usia kini hasil kerja dihasilkan lebih teliti, kemas serta idea yang lebih kreatif.
Kata Alisa Aslina lagi, walaupun rumahnya sering bersepah sehingga ada waktunya objek dihasilkan terpaksa dibuang namun dia dan suami, Mohamad Norhadi Ibrahim, 42, yang bekerja sendiri tidak pernah halang minat anak-anaknya itu sebaliknya sentiasa menyokong untuk terus berkreativiti. – UTUSAN










